
Alhamdulillah, dengan rahmatnya aku & isteriku dikurniakan anak lelaki pada jam 12.20 tengahari hari Isnin 19 September 2011 bersamaan 21 Syawal 1432H. Hari Isnin hari yang sama dengan kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Bulan Syawal, bulan yang 1 Syawalnya disambut hari raya aidilfitri dan di dalam bulan ini disunatkan berpuasa 6 hari sebagai tambahan untuk mandapat pahala setahun. Alhamdulillah.
Bersalin di Klinik Bersalin Al-Nur, Kubang Kerian. Walaupun harganya agak mahal, mencecah RM1300, demi untuk mendapatkan doktor perempuan, kami sanggup. Isteriku mula sakit pada hari Ahad kira-kira jam 4 petang. Aku ketika itu berada dalam program kemerdekaan peringkat MRSM Kota Putra. Detik hati membawa aku pulang ke rumah. Kira-kira pukul 6 petang, kami (aku, isteriku, emakku, emak & abah mertuaku) bertolak ke Kubang Kerian. Sakit isteriku pada mulanya sekata 5 minit - 5 minit. Kemudian 30 minit & sebagainya. Maknanya sakit main-main. Malam menjelang, kami menempah hotel murah, RM35 sebilik di hadapan HUSM. Kami ambil dua bilik. Kira-kira jam 2 pagi, sakit isteriku makin kuat dan sekata. Kami bergegas turun dan pergi ke Klinik Bersalin. Rupanya masih main-main. Kami Tunggu saja depan klinik tersebut. Selepas solat subuh, kira-kira pukul 8 pagi, staff klinik tersebut tiba, dia menjemput kami masuk ke bilik sementara menunggu waktu sesuai untuk bersalin. Kira pukul 10 pagi, isteriku di bawa masuk ke bilik bersalin. kira-kira 11.30 pagi, doktor datang.
Akhirnya, kira-kira 12.20 tengahari, lahir lah anak kami. Keluar sahaja kepala anak kami, doktor sendiri melaungkan kalimah-kalimah azan. Setelah anak kami di letakkan dalam tempat bayi, aku pun melaungkan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri anakku. Sejurus selepas itu, aku mentahnikkan anakku. aku mengambil air zam zam menggunakan jari telunjuk kananku dan menitiskan air tersebut ke mulut anakku. kemudian, aku ambik sedikit isi kurma bahagian dalam (kerana lebih lembut), ku campurkan dalam air zam zam dan ku ambil kurma tadi, aku alirkan ke bibir anakku kanan ke kiri seumpama membelah mulut.
Pulang dari klinik bersalin, aku dan abah mertuaku uruskan penanaman uri. Abahku gali tanah di hadapan rumah. Kemudian, uri tersebut diletakkan diantara dua belahan tempurung kelapa. Kemudian, uri tersebut ditanam. Tujuan uri ditanam untuk mengelakkan daripada di apa-apakan oleh binatang.
Kami namakan anak kami Muhammad Al-Fateh pada hari ketiga kelahirannya di Pejabat Pendaftaran Negara di Kg Raja, Besut. Muhammad maksudnya yang terpuji. Al-Fateh maksudya pembuka @ perintis. pembuka bagi keluarga kami selaku anak sulung. Juga sempena nama seorang panglima yang terbaik, yang memimpin angkatan tentera terbaik pada zaman Turki Uthmaniah. Panglima & tentera tersebut telah membuka Kota Kostantinople. Sekarang ni dikenali sebagai Istanbul (asalnya Islam bul iaitu Islam semuanya). Dengan harapan anak kami bakal menjadi perintis dalam menjana tranformasi umat.
Pada hari keempat, aku bawa isteriku dengan ditemani emak mertuaku pulang ke Grik. Isteriku berpantang di kampung halamannya, Kg Air Panas, Grik. Pada hari keenam 24 September 2011, tali pusat anak kami tertanggal. Alhamdulillah. Pada hari ketujuh, kami mencukurkan kepala anak kami. Rambut yang kami cukur tersebut, kami kumpul untuk ditimbang dengan nilaian perak dan untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Cukur guna gillate je. Dalam masa yang sama, kami melakukan aqiqah kepada anak kami dengan menyembelih dua ekor kambing. Daging kambing tersebut, kami hidangkan kepada jamaah masjid dan rumah anak yatim.
No comments:
Post a Comment